Rss Feed
  1. ARIXTRA

    Friday, October 15, 2010

     Alhamdulillah, kini posting surgery telah selesai namun masih banyak ilmu-ilmu yang perlu dipelajari. Rasanya 8 minggu ini tak cukup untuk mendalami ilmu secara total. Saya tertarik dengan satu fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tentang sejenis ubat dari kumpulan Heparin. Biasanya Heparin digunakan untuk anticougulant iaitu secara prinsipnya ingin menghalang pembentukan clot (gumpalan) di dalam darah.


    Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine
     
    Keputusan:

    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

    Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit, kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudharatan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat dari sumber yang halal ditemui.

    Oleh itu, berhubung dengan penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine yang dianggap darurat kepada para pesakit bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta merta ketika pesakit berada pada tahap kronik, Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kedua-dua jenis ubat ini adalah ditegah kerana ia dihasilkan dari sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

    Keterangan/Hujah:


    Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengesahkan wujudnya enzim babi dalam kandungan kedua-dua jenis ubat tersebut. Ini kerana kedua-dua jenis ubat ini terbentuk daripada low molecular weight heparin (LMWH) yang merupakan unsur yang terbentuk daripada heparin. Heparin merupakan sumber biologi yang diambil daripada usus babi.

    Islam mengharamkan penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:



    Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara- perkara) yang haram.

    Dalam keadaan tiada ubat lain yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan tubuh badan, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah seperti penggunaan ubat yang bersumberkan enzim babi diharuskan selama mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui mengikut kadar yang diperlukan sahaja.

    Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

    (i) Darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti. Dengan kata lain telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman- pengalaman atau pengetahuan;

    (ii) Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudharatan melainkan perkara yang ditegah;

    (iii) Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;

    (vi) Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan

    (v) Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.

    Dalam isu ubat clexane dan Fraxiaprine ini, kajian yang telah dijalankan mendapati terdapat sejenis ubat lain iaitu Arixtra Solution For Injection atau nama generiknya Fondaparinux Sodium mempunyai tahap keupayaan yang tinggi dalam membantu mengelakkan masalah pembekuan darah. Ubat ini telah pun berdaftar dengan BPFK dengan nombor pendaftaran MAL 20034441A.

    Fondaparinux merupakan ramuan aktif di dalam Arixtra yang terhasil secara sintetik di manapentasaccharide sintetik diambil dan ia tidak mengandungi sebarang bentuk heparin. Malah, tiada satu pun material dalam penghasilan ubat ini diambil daripada haiwan termasuklah biproduk babi. Arixtra bukan ubat yang baru ditemui, sebaliknya ia telah berada di pasaran lebih daripada 10 tahun. Namun kajiannya yang terbaru telah mendapati bahawa ubat ini mampu menggantikan kekuatan Clexane dan Fraxiaprine.

    Arixtra digunakan untuk mengelakkan pembekuan darah atau masalah VTE bagi pesakit yang menjalani rawatan pembedahan major ortopedik, lutut dan pinggang. Selain itu, ia juga digunakan bagi pesakit jantung, pesakit kronik yang tidak dapat bergerak dan pembedahan abdomen.

    Penemuan Arixtra dalam dunia perubatan hari ini telah menghapuskan `illah pengharusan penggunaan perkara yang ditegah. Perkara ini bersesuaian dengan kaedah fiqh ما جاز لعذر يبطل بزواله. Prinsip ini menetapkan bahawa keharusan sesuatu perkara itu adalah disebabkan keuzuran tertentu dan ia terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut.

    Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penggunaan-ubat-clexane-dan-fraxiparine

    Moga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk bertanggungjawab ke atas ilmu yang kita ada sebelum kita dipertanggungjawabkan ke atas ilmu yang kita ada kelak. Moga perkongsian ini memberi manfaat semua.

  2. Masjid Tak Mesra Kanak-kanak

    Friday, October 1, 2010

    Sudah lama rasanya jari jemari ini tidak menulis. Moga Allah memberi nikmat istiqamah dalam diri untuk menulis sebagai peringatan buat diri sendiri dan iktibar sahabat sekalian.....

    Nampaknya Syawal hampir melabuhkan tirainya. Namun, rumah terbuka masih belum putus-putus dianjurkan oleh masyarakat kinta. Maklumlah raya cuma sekali. Teringat saya ketika pada hari raya ke-6 di mana saya dan beberapa sahabat lama membuat kunjungan ziarah kepada salah seorang sahabat. Dari Melaka kami terus ke Seremban dan kami sempat bersolat asar di salah sebua masjid di salah sebuah masjid di pinggir kota Seremban. Di sana saya tertarik dengan satu artikel yang terpampang di masjid berkenaan.

    Artikelnya seperti berikut :

    Mesrahkah masjid kita dengan kanak-kanak? Ada yang menjawab ya dan tidak kurang juga yang mengatakan tidak. Realitin kebanyakmasjid pada hari ini menunjukkan bahawa masjid kurang berminat dengan kehadiran kanak-kanak. Sebut sahaja jenis aktiviti di masjid, semuanya tertumpu.dan disasarkan kepada kumpulan orang dewasa, kecuali kelas agama dan fardhu ain yang dikhaskan untuk kanak-kanak.


    Lebih menyedihkan ada sesetengah masjid memberi penekanan serius seperti peringatan yang berbunyi 'kanak-kanak bawah umur empat tahun tidak dibenarkan berada di dewan solat'. Merokok tidak pula ditekankan sehingga ke tahap ini walaupun difatwakan haram di Malaysia. Apakah ini bukti galakan kita untuk menyuburkan masjid d hati kanak-kanak. Bukan lebih mesra sekiranya peringatan itu ditujukkan kepada ibubapa agar mengawasi kanak-kanak ini.


    Masjid Untuk Si Tua
    Sudah menjadi satu fenomena dalam masyarakat kita bahawa masjid ini tempat orang-orang pencen serta veteran untuk beribadah. Kononnya sudah sampai musim taubat katanya. Golongan middle age dan ke bawah menganggap bahawa masa mereka untuk ke masjid belum lagi tiba. Belum diseru ' Kubur kata mari, rumah kata pergi'. Sikap beginlah menjadikan  masjid-masjid sebagai tempat 'lepak' untuk golongan senja. Lalu program-program yang disusun juga berselerakan orang tua. Nah!! Adakah kanak-kanak yang baru berumur 3 tahun mahu mendengar kupasan kitab-kitab, ceramah itu dan ini. Kebosanan ini menjauhkan mereka dari Masjid. Mula-mula tumbang dipangkuan atuk dalam majlis ilmu, lama kelamaan si kecil ini tumbang di depan TV dengan sajian yang cukup menarik.

    Asuh Anak Ke Masjid
    Ibubapa sekarang merupakan ibubapa yang berkarier. Ada yang menjawat sebgai doktor, jurutera, arkitek dan lain-lain. Namun disebabkan kesibukan mencari kebahgian material bagi keluarga maka kebahgian spiritual serta kerohanian dilupakan. Anak-anak diajak ke masjid seminggu sekali (solat jumaat) tak pun setahun dua kali pabila menjelang aidil fitri dan aidil adha. Nauzubillah min zalik. Mana tidaknya kanak-kanak ini tidak berasa begitu dekat dengan masjid sebab dari kecil lagi mereka tidak diasuh. Tatkala di usia muda inilah masa terbaik untuk mengasuh mereka.


    Buah Fikiran
    Masjid perlu memvariasikan program yang dianjurkannya. Bagaimana?? Kita sebagai remaja perlu terlibat secara tidak langsung dalam mengutarakan pandangan dalam penyusunan aktiviti masjid, kalau mampu kita boleh menjadi AJK masjid. Jarak umur remaja dan kanak-kanak tidaklah begitu jauh dan remaja juga faham selera dan kehendak mereka. Maka moleklah remaja seperti kita melibatkan diri sebagai organisasi.

    Selain itu, janganlah menganggap bahawa masjid itu untuk tempat menuaikan ibadah khusus semata-mata. Ibadah umum juga boleh dilakukkan. Perkarangan masjid boleh dijadikan tempat beriadah. Macam-macam boleh dilakukan cuma perlu ada inisiatif. Di zaman Rasulullah masjid merupakan satu tempat yang paling utama. Tempat merancang strategi pentadbiran negara sehinggalah kepada pengumuman iklan. Maka marilah kita bersama-sama mengimarahkan masjid bukan sekadar untuk mesra kepada kanak-kanak tetapi mesra kepada UMMAH.