Rss Feed
  1. Ayuh Ubah! Takkan Asyik tu yoo!

    Sunday, April 28, 2013





    Rasa Selesa : Pembunuh Perubahan

    Sepetang bersama masyarakat Selaru, Kuala Pilah telah memberikan sedikit gambaran kepada saya bahawa ada beberapa kelompok masyarakat masih belum lagi bersedia untuk keluar dari zon selesa. Ada rasa terhutang budi, ada pula yang termakan dengan media yang berat sebelah malahan ada yang menganggap kehidupan mereka tidak ada perubahan jika sesiapa pun memerintah.

    Kata mereka:

    “BN sudah lama memerintah, jadi kita bagilah kepercayaan kepada mereka.”

    Kata saya:

    “Lama memerintah tak salah, tapi makin lama makin nyanyuk memerintah tak guna juga.”

    Kata mereka:

    “Jangan layan dengan dakyah pembangkang, mereka tu bikin Malaysia bankrap.”

    Kata saya:

    “Jangan asyik baca dan tonton media sebelah pihak sahaja. Taksub nanti!”

    Kata mereka:

    “Kita dah maju dah sekarang. Dulu jalan merah sekarang dah tar, dulu tiada air letrik sekarang dah ada. Syukurlah! Nak apa lagi?”

    Kata saya:

    “Apa salah untuk kita tambah baik kehidupan. Sedangkan kita diajurkan besok lebih baik dari hari ini.”

    Kata–kata yang terkeluar dari mereka menggambarkan bahawa mereka merasa cukup dengan apa yang ada. Tidak rasa mahu maju kehadapan. Hendak lebih baik itu bukan tanda kita tidak bersyukur. Bukannya kita kufur nikmat. Malah kita mahu menikmati nikmat yang dianugerah dengan adil dan saksama. Tak kira kaum dan agama. Kita rakyat Malaysia.

    Muda Vs Tua

    Suatu ketika dulu ada pertembungan ideologi antara golongan tua dan golongan muda. Golongan muda ingin membuat perubahan tetapi golongan tua masih ingin mengekalkan cara lama. Dek kerana asakan dan perjuangan muda maka Malaysia menjadi lebih maju. Lihatlah Malaysia hari ini hasil dari perjuangan golongan muda yang punya pemikiran yang inovatif dan kreatif. Semuanya demi Malaysia tercinta.

    Hari ini pertembungan antara dua ideologi. Satu idea yang ingin kekalkan Malaysia dan satu lagi ingin membawa angin perubahan. Kedua-dua golongan ini sememangnya ingin membawa Malaysia kehadapan dengan lebih maju.  Namun, berdasarkan prestasi kedua – dua kumpulan kita boleh menilai yang mana mampu membawa Malaysia lebih maju.  

    Kebanyakannya golongan muda yang menyokong kelompok ini. Kenapa? Bukan golongan muda tidak mengenal sejarah atau pun tidak mengenal budi. Mereka juga bukanlah golongan yang senang termakan dengan dakyah golongan kiri. Sebenarnya mereka ini adalah golongan yang berfikir. Mereka melihat, menilai, berfikir dan analisis.  Sumber mereka luas tidak tertumpu pada satu. Atas asbab itu timbul semangat mereka untuk berubah!

    Hal ini berbeza dengan golongan tua. Mereka hanya menonton rancangan yang sama, membaca surat khabar yang sama dan mendengar siaran radio yang sama. Idea tidak berkembang. Sempit dan terhimpit. Mereka hanya tahu mempertahan sejarah dek kerana terhutang budi. Melawan katanya biadap dan tidak bersyukur.





    Keluar Dari Zon Selesa

    Sifat orang Melayu memang terkenal dengan sopan satun dan kaya budi pekerti. Malah mereka cepat terasa terhutang budi lebih–lebih lagi membantu mereka tatkala kesusahan. Mereka akan ingat sampai kesudah. Sifat inilah memakan diri. Melayu terus rasa terhutang budi hingga pemerintah boleh buat apa sahaja. Bagi mereka, satu untuk rakyat tiga untuk mereka.

    Kita tidak perlu kerajaan yang korup untuk memerintah. Kita perlukan kerajaan yang adil dan bijak. Kerajaan yang mampu membawa Malaysia ke gerbang kemajuan. Bukan hanya nama sebagai Negara berstatus Negara maju tetapi kita mahu Malaysia menjadi Negara yang maju dari sudut pemikiran, ekonomi, pendidikan dan lain–lain lagi.

    Jika kita lihat kembali sejarah lampau. Jika kita ingin menjadi lebih maju kita perlu mencabar diri dan keluar dari kepompong keselesaan. Rasa selesa itu sebenarnya candu yang melemahkan dan menumpulkan daya pemikiran kita untuk membawa Malaysia dengan lebih maju.

    Keluarlah dari zon selesa, dengan izinNya kita akan hidup lebih selesa. Apa yang pasti kita mahu Malaysia yang lebih maju. Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional . Semua di tangan anda. Ayuh Ubah! Takkan asyik nak tu yo!

  2. 0 comments: